BAGAIMANA Gajet & Skrin Digital Merosakkan Mata Anak Anda

Anda mungkin membaca artikel ini pada telefon anda atau skrin digital yang lain. Ada kemungkinan juga, jika anda mempunyai anak kecil, gajet-gajet seperti telefon pintar, tablet atau komputer riba mesti ada di tangan mereka. Penggunaan gajet-gajet elektronik pada masa kini adalah sangat meluas, sehinggakan kita tidak lagi mengingati masa dimana telefon awam merupakan satu-satunya cara untuk berkomunikasi semasa di dalam perjalanan.

Kemudian pula, myopia. Myopia atau rabun jauh telah menjadi isu kesihatan umum global sejak beberapa dekad yang lalu. Memetik statistik terkini dari jurnal optometris, myopia melibatkan kira-kira 85 hingga 90% remaja di beberapa negara Asia seperti Singapura dan Taiwan. Sebagai perbandingan, pada tahun 1950-an, hanya 10-20% penduduk China yang rabun jauh. Hari ini, dianggarkan 90% remaja and dewasa

muda China telah menjadi rabun jauh. Kita juga boleh melihat peningkatan drastik pesakit rabun jauh di benua lain, di mana lebih separuh daripada golongan dewasa muda di Amerika Syarikat dan Eropah telah mempunyai rabun jauh – peningkatan sebanyak dua kali ganda berbanding setengah abad yang lalu. Myopia kini telah mencapai tahap epidemik secara global.

Ini jelas menunjukkan secara global, wujudnya kaitan antara penggunaan gajet atau skrin digital yang berlebihan dan peningkatan kes myopia. Tidak boleh dinafikan bahawa kanta lekap, cermin mata atau pembedahan LASIK boleh memperbetulkan rabun jauh, tetapi jika dilihat dari dasarnya, masalah myopia berpunca dari bola mata yang memanjang.

Sebagai kesimpulan, adakah penggunaan telefon pintar dan gajet elektronik boleh dipersalahkan? Jawapan ringkasnya adalah “ya”.

PENGLIHATAN KABUR

Penggunaan skrin digital seperti komputer riba, tablet atau telefon pintar melibatkan satu proses penglihatan yang aktif untuk mengekalkan imej yang jelas, iaitu proses akomodasi. Proses akomodasi adalah mekanisme di mana mata berubah fokus dari melihat imej jauh ke dekat dengan mengontraksi otot-otot siliari. Ini membolehkan kanta mata melengkung dan membenarkan imej dekat tertumpu tepat pada retina, dengan itu memberikan focus yang jelas kepada objek tersebut.

Sebaliknya apabila mata berubah fokus ke imej yang jauh, proses akomodasi merehatkan oto siliari, serat mata ditegangkan dan kanta mata memanjang. Cahaya dari imej jauh akan tertumpu tepat pada retina. Pemfokusan pandangan ke objek dekat untuk tempoh yang berpanjangan, contohnya ketika menggunakan telefon pintar, memerlukan otot siliari kontraksi/mengecut untuk masa yang lama.

Apabila mata berubah fokus ke imej yang jauh, ada kalanya otot siliari gagal untuk direhatkan untuk membolehkan kanta mata memanjang dan seterusnya memfokuskan cahaya dari imej jauh ke retina. Keadaan ini dipanggil ‘Kekejangan Akomodasi’. Imej jauh tersebut akan terfokus di hadapan retina dan menyebabkan kekaburan. Sindrom ini dipanggil pseudo-myopia atau rabun jauh palsu. Pada kebiasannya, keadaan ini bersifat sementara dan akan hilang selepas penggunaan skrin digital diberhentikan.

KEKERINGAN MATA

Ketika menggunakan gajet dan melihat skrin digital, mata akan memfokus kepada objek jarak dekat.
Kadar kekedipan mata atau Blinking Rate (BR) akan berkurang dari kadar rehat BR iaitu 15 kedip setiap minit kepada kira-kira 5 kedip seminit.

Kanak-kanak yang menggunakan gajet kebiasaanyan menggunakan perabot yang sesuai untuk orang dewasa seperti kerusi dan meja bersaiz standard. Mereka perlu mengubah postur kedudukan mereka untuk berasa selesa.

Contohnya, semasa menggunakan komputer riba di kerusi dan meja bersaiz standard, mereka perlu mendongak untuk melihat skrin. Ini menyebabkan pembukaan kelopak mata yang lebih besar dan seterusnya kadar penyejatan air mata yang meningkat.

Pembukaan kelopak mata yang lebih besar, berserta bilangan kedipan yang berkurangan akan mengakibatkan terjadinya titik-titk kering di permukaan kornea. Titik-titk ini jika tidak dirawat, boleh menyebabkan luka kecil di kornea mata yang disebut Punctate Epithelial Erosion (PEE). Antara gejala-gejala PEE termasuk kekeringan mata, mata merah, sensasi badan asing, photophobia dan sensasi terbakar.

Diagnosis, rawatan, dan prognosis yang tepat hanya boleh ditentukan oleh doctor mata atau optometris yang bertauliah. Rawatan PEE termasuklan penggunaan air mata tiruan and ubat titis antibiotik.

Titik-titik kering PEE di permukaan kornea dilihat bawah lampu flourescein

PENINGKATAN KES MYOPIA (RABUN JAUH)

Meluangkan masa yang lama dengan gajet dan skrin digital akan membantutkan semangat kanak-kanak untuk beriadah dan melakukan aktiviti fizikal di luar rumah. Kajian mendapati bahawa kanak-kanak miopik mempunyai tahap dopamin yang lebih rendah berbanding kanak-kanak yang berpenglihatan sempurna.

Dopamin adalah bahan kimia yang dihasilkan di dalam otak dan bertindak sebagai neurotransmitter untuk menghantar mesej di rangkaian sistem saraf. Ianya dihubungkaitkan perasaan gembira dan ganjaran yang baik. Kajian juga menunjukkan dopamin membantu menghalang pemanjangan bola mata, yang merupakan penyebab utama myopia.

Tahap dopamin yang rendah boleh menyebabkan kehilangan motivasi dan kemuraman pada perkara yang kebiasaaanya merangsang semangat dan motivasi. Cahaya matahari yang cukup, aktiviti senaman yang mengeluarkan peluh and tidur mencukupi boleh meningkatkan paras dopamin secara semulajadi.

KEROSAKAN SARAF MATA

Skrin digital menghasilkan sinar cahaya biru yang pada spektrum cahaya yang boleh dilihat. Cahaya biru ini mempunyai panjang gelombang terpendek tetapi tenaga tertinggi. Walaupun kornea dan kanta mata sangat berkesan dalam menghalang sinar UV dari sampai ke retina di belakang bola mata, hampir kesemua cahaya biru dapat menembusi kornea dan kanta mata hingga mencapai retina yang sensitif. Kajian makmal telah menunjukkan bahawa terlalu banyak pendedahan kepada cahaya biru boleh merosakkan sel-sel di retina. Perubahan ini menyerupai ‘Macular Degeneration’, yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan kekal.

Jangan harap anak saya nak berhenti main smartphone. Tapi, bolehkah mata anak saya dipelihara?

Aturan 20-20-20

Ramai kanak-kanak menghabiskan masa yang lama melihat gajet dan skrin digital, gejala yang boleh mendatangkan keletihan penglihatan dan ketegangan leher. Untuk mengelakkan simptom tersebut, amalkan aturan 20-20-20. Setiap 20 minit, rehatkan mata selama 20 saat dengan memfokuskan mata pada objek yang sekurang-kurangnya 20 kaki jauhnya. Kerap merehatkan mata semasa menggunakan gajet dan skrin digital boleh menghalang terjadinya ‘Kekejangan Akomodasi’ atau pseudo-myopia. Ingati anak-anak anda supaya berkedip dengan kerap dan penuh semasa menggunakan peranti mereka dan gunakan titisan mata pelembab apabila mata mereka terasa kering.

Kurangkan Tempoh Waktu Penggunaan Skrin Digital

American Academy of Pediatrics telah mengeluarkan garis panduan untuk penggunaan media pada kanak-kanak dari saat kelahiran hingga dewasa. Antara isi cadangan tersebut ialah:
• Bagi kanak-kanak yang berumur kurang dari 18 bulan, elakkan penggunaan skrin digital selain daripada perbualan video secara langsung.
• Bagi kanak-kanak berumur 2 hingga 5 tahun, hadkan penggunaan skrin digital kepada sejam sehari dengan program berkualiti tinggi.
• Bagi kanak-kanak yang berumur 6 tahun ke atas, perlu ada had masa yang konsisten bagi penggunaan skrin digital. Had yang ditetapkan perlu mengambil kira masa yang mencukupi tidur, rehat dan riadah fizikal.

Galakkan Aktiviti Luaran

Aktiviti-aktiviti luaran seperti berjalan santai, berenang, bersukan dan berkhemah membuatkan kita berasa lebih sihat, mengeratkan hubungan keluarga dan rakan-rakan, dan dapat mengalihkan tumpuan anak-anak dari gajet mereka.

Peruntukkan masa pada hujung minggu untuk bersenam, bersukan atau aturkan aktiviti berkumpulan seperti berkhemah, mendaki bukit, bermaraton sebagainya bersama-sama ahli keluarga. Pendedahan kepada matahari pagi juga menggalakkan badan kita menghasilkan lebih banyak serotonin, hormon yang mengawal aturan tidur-jaga dan meningkatkan tahap dopamin yang dihasilkan oleh badan.

Perbetulkan Penggunaan Skrin Digital

Sekiranya penggunaan peranti digital tidak dapat dielakkan oleh anak-anak anda, pastikan mereka amalkan postur yang betul semasa menggunakan gajet mereka. Ketinggian kerusi perlu dilaraskan supaya skrin komputer riba/tablet berada pada paras 15 darjah di bawah paras mata mereka. Mendongak ke atas ketika berbaring atau duduk di kerusi yang lebih kecil sedangkala menggunakan skrin digital mereka akan menyebabkan pembukaan kelopak mata mereka lebih besar. Ini boleh menyebabkan kekeringan mata atau berlakunya PEE.

Skrin digital harus terletak sekurang-kurangnya 30-40cm dari mata mereka. Penggunaan gajet dan skrin digital perlukan pencahayaan yang betul, sebaiknya cahaya matahari. Jika silau skrin terlalu kuat, dapatkan skrin cahaya biru atau penapis yang dapat mengurangkan tahap cahaya biru yang dapat masuk ke dalam mata mereka.

Pemeriksaan Mata Tahunan

Persatuan Optometrik Amerika (AOA) telah mengeluarkan garis panduan untuk kesihatan mata kanak-kanak. Kanak-kanak berusia 6 hingga 18 tahun disarankan

untuk menjalani pemeriksaan mata menyeluruh sebelum memasuki sekolah dan setiap tahun selepas itu. Pemeriksaan mata secara komprehensif disyorkan dua tahun sekali. Ini disebabkan peningkatan kes-kes kerabunan dan lain-lain masalah penglihatan yang melanda generasi muda kini.

Sebagai kesimpulannya, kenali masalah mata anak anda seperti sakit kepala, kekeringan mata, kesakitan pada bahagian leher dan bahu, sering menggosok mata, mengeyitkan sebelah mata untuk memfokus, melihat objek dengan dagu terdongak atau kepala terteleng ke tepi. Faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada masalah ini adalah pencahayaan yang kurang baik, postur duduk yang salah, silau dari skrin yang berlebihan atau keletihan. Maklumat lanjut tentang masalah penglihatan kanak- kanak biasa boleh didapati dalam artikel pertama saya: Children’s Vision.

Dapatkan artikel ini dalam versi English yang akan diterbitkan bersama-sama. Saya juga turut dipaparkan dalam saluran radio ‘BFM Health & Living’ mengenai topik ‘Caring for Children’s Eyes’ pada 2 Oktober 2018. Anda boleh memuat-turun podcast dari temubual tersebut di laman web BFM. Anda juga boleh mendapati soalan-soalan dan jawapan yang terpilih dari rancangan tersebut pada artikel saya yang seterusnya.